Sunday, November 13, 2011

misteri disebalik makna cantik

Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama.

Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan. Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang.

Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain. Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu. Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular.

Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia. Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik,ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam.

Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.

Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini.

Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa. Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik.

Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara. Jika anda belum mendapat teman, bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda.

Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.

Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani. Siapa anda, anda sendiri yang menentukan.

Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu. Itu saja yang membezakan.

~ Dr H.M.Tuah

Wallahu’alam….

Kesabaran Rasulullah Saw Dalam Berdakwah

Hadith :
Jundub Ibn Sufyan r.a menerangkan:”Bahawasanya Rasulullah SAW pada suatu hari berada di dalam sebuah peperangan sedangkan anak jari baginda sudah berdarah. Maka berkatalah Rasulullah SAW :”Engkau hai anak jari tiada lain melainkan anak jari yang telah berdarah dan di jalan Allah apa yang telah engkau deritai.”

(Bukhari dan Muslim)

Huraian
Nabi pernah menyatakan bahawa tekanan paling berat yang pernah dirasakan baginda sewaktu berhadapan dengan orang Quraisy ialah apa yang pernah baginda deritai pada Hari Aqabah di Mina iaitu ketika baginda pergi ke Taif untuk berdakwah. Di sana baginda berharap agar penduduk Taif akan menerima dakwah baginda dan melindungi baginda daripada keganasan puak Quraisy. Namun yang sebaliknya pula berlaku apabila baginda diusir dan dikasari hingga luka berdarah. Dalam peristiwa ini Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk membantu baginda membinasakan puak yang menentang itu dengan cara membinasakan mereka sebagaimana yang berlaku pada kaum-kaum sebelumnya. Namun sebagai seorang Nabi baginda tidak terburu-buru. Baginda menolak bantuan tersebut dan masih mengharap supaya kaum yang melampau itu diberikan kesedaran dan mereka tidak dibinasakan kerana perlakuan mereka itu sebenarnya adalah disebabkan kejahilan mereka

Saya Malu Nak Jadi Baik

"Aku dah tak suci lagi. Aku banyak dosa. Terlanjur dah dengan berapa orang lelaki dah. Zina tu dulu perkara biasa bagi aku sebab aku couple bukan dengan seorang lelaki je. Tapi sekarang aku menyesal. Aku rasa aku teruk sangat! Aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Aku selamanya tak akan jadi baik. Dosa-dosa lalu terus menghantui hidup aku. Aku rasa diri ini jijik dan teramat kotor,"

"Aku ini nak kata budak jahat, tak adalah jahat sangat cuma nakal tu adalah sikit-sikit. Itu mungkin kerana terikut perangai kawan-kawan. Mengusik dan menyakat orang kerja biasa. Tapi sebenarnya jauh di sudut hati aku, aku nak jadi lebih baik tapi aku malu. Nanti apa yang kawan-kawan aku kata. Aku dah pernah sekali ajak mereka solat berjemaah dan pergi dengar ceramah tapi aku dipandang pelik. Aku rasa susah sangat. Aku terhimpit,"

"Aku solat cukup lima waktu sehari. Puasa pun Alhamdulillah. Nak kata bab tutup aurat, aku lepaslah agaknya. Tapi aku rasa aku ini tak cukup baik. Bila aku tengok kawan-kawan yang berubah, bila aku tengok kawan-kawan yang pakai tudung labuh dan berbaju kurung, aku rasa aku ini tak baik. Aku nak berubah tapi aku malu. Aku rasa susah. Aku rasa tak sanggup nak tinggalkan dunia cardigan, jeans, shawl dan pashmina,"

Iman Itu Masih Ada.

Tatkala hati terkesan dengan perbuatan dosa yang dilakukan, itu bukti tandanya iman masih ada. Penyesalan itu salah satu daripada peringkat taubat.

Fitrah manusia suka akan kebaikan. Sebenarnya melakukan kebaikan lebih mudah daripada melakukan maksiat. Tak percaya?

Mana lebih senang. Pergi konsert atau pergi masjid? Kalau pergi konsert, perlu keluarkan duit untuk membeli tiket dan bersesak-sesak dengan orang ramai. Faedah? Belum tentu. Kalau pergi masjid, langkahan kaki pun sudah dikira. Tidak perlu keluarkan modal. Malah makin dicintai Allah. Asal niat betul.

Mana lebih senang. Bersedekah atau mencuri? Kalau bersedekah, hanya keluarkan duit. Zahirnya berkurang sedangkan hakikatnya semakin meningkat saham di sana. Kalau mencuri, hati gelisah dan tidak tenteram. Hidup dalam ketakutan. Tidak bahagia.

Selagi dunia tidak kiamat, selagi itu peluang masih ada. Kenapa harus memandang dosa yang lalu sedangkan kita masih punya waktu?

Pandangan manusia. Cuba jadi tegas! Manusia kalau kita buat baik, ada orang tidak suka. Kalau kita buat jahat apatah lagi, mesti ramai juga yang tidak suka. Jadi, buat hanya apa yang Allah suka walaupun manusia tidak suka. Pegang prinsip itu! Kerana kita bukan hamba manusia, kita hamba Dia! Ini bukan marah tetapi tegas dan semangat!.

Create the Future

Kita selamanya tidak akan pernah tahu apa yang bakal terjadi pada masa hadapan. Tetapi kita boleh mengubahnya mulai hari sekarang. Apa yang kita buat hari ini, itulah yang bakal terjadi pada hari esok. Yang penting, tanya pada diri, jika ingin melakukan kebaikan, di manakah usaha? Begitu juga dengan soal rezeki dan jodoh. Qada muallaq iaitu ketentuan Allah yang tercatat di lauhul mahfuz dan kita boleh mengubahnya. Tetapi itu semua bergantung kepada sejauh mana usaha dan doa.

Mari saya datangkan satu analogi. Katakan Ahmad seorang pelajar yang bermasalah, malas belajar dan menghisap rokok. Tiba suatu ketika, terdetik penyesalan di hatinya. Dan ketahuilah, saat itu, dia punya dua peluang. Peluang ke arah kebaikan atau sebaliknya. Terhimpit antara dua lorong.

Lorong pertama, memilih untuk rajin belajar dan meninggalkan tabiat menghisap rokok. Lorong kedua, masih tetap dengan perangai dan tabiat lama. Apakah mungkin jika dia masih berada di lorong kedua, pada masa hadapan nanti dia bakal menjadi seorang graduan universiti yang punya sahsiah mulia dan cemerlang? Sudah tentu tidak! Tetapi sebaliknya yang berlaku jika lorong pertama yang menjadi pilihan.

Ini yang saya maksudkan. Bukan mahu menjadi ahli nujum. Cuma mengajak untuk bersama membina masa hadapan. Mencipta jalan cerita sendiri. Kita umpama pelakon di pentas dunia. Kita punya kuasa untuk mengarah jalan drama sendiri. Dan yang pasti hanya ada dua pilihan yang terbentang. Satu lorong yang dipilih, akan membawa kepada lorong yang lain. Jika lorong kebaikan dan perubahan yang dipilih, pasti kesudahannya juga begitu. Begitu juga sebaliknya. Inilah sunnatullah.

Buat Dirimu...

Sayangku nisa', usah biarkan keterlanjuranmu menjadi sejarah hitam yang terus mencalit debu kehitaman walau hingga ketika ini. Itu semua sejarah dahulu dan ketahuilah hari ini juga bakal menjadi sejarah. Tetapi bezanya sejarah dahulu itu menjadi suatu pengajaran yang besar buat diri. Dan sejarah yang bakal ditelusuri ini, ketahuilah, dirimu masih punya waktu. Usah persiakannya!

Juga buat diri yang rindu akan kebaikan. Apakah saat Allah mendatangkan penyesalan di hatimu, engkau mahu melepaskan peluang ini? Apakah pada saat Allah membuka jalan taubat buatmu, engkau memilih untuk semakin menjauh daripada-Nya walaupun tanpa kerelaan hanya kerana malu dengan manusia sekeliling? Atau merasa diri itu terlalu kotor dan tidak layak untuk diampunkan? Ketahuilah Dia Maha Pengampun. Usah pedulikan pandangan mereka dan mereka itu, tetapi dongaklah ke atas, dan ketahuilah Dia menunggumu untuk sujud kepada-Nya! Bersama air mata taubat seorang hamba!

Buat nisa', walau dirimu merasa tiada yang menyayangi, ketahuilah aku di sini amat menyayangimu sekalipun kita tiada pernah mengenali. Tetapi walau sebesar mana kasihku kepadamu, masih pasti belum mampu menandingi kasih-Nya terhadapmu. Apakah saat ini masih mahu berpaling?

Motivasi daripada Kisah.

Saya memahami, berbicara itu mudah tetapi mahu melakukan itu tidak semudah bicara dan tulisan. Kerana itu perlu kepada kisah-kisah yang dapat menguatkan hati. Yang bisa meneguhkan keazaman dalam diri untuk menjadi lebih baik.

Pasti dan sudah tentu pernah mendengar kisah seorang pelacur perempuan. Yang kiranya dipandang manusia begitu kotor dan jijik pada masa kini sehingga melahirkan anak di luar perkahwinan yang sah. Walaupun mereka itu kini telah menyesal dan ingin berubah tetapi tetap dipandang serong. Tiada sokongan dan semangat yang ditiup tika mereka lemah. Kerana terusan dihantui dosa-dosa lalu.

Dengarkan kisah ini yang ingin saya putar kembali. Kembali kepada kisah pelacur perempuan. Yang berzina. Tetapi dimasukkan ke dalam syurga oleh Allah hanya kerana memberi minum kepada seekor anjing. Tidakkah rahmat Allah itu luas? Kerana itu berhenti menghukum manusia. Walau kotor pada pandangan manusia, kita tiada pernah mengetahui apakah pandangan-Nya.

Lihat diri sendiri dan nilai. Diri sendiri juga belum tentu baik. Diri sendiri juga belum tentu dipandang-Nya. Walaupun kita melakukan kerja dakwah, walaupun diri itu sentiasa memberi tazkirah, walaupun diri itu aktif dalam program keagamaan. Saya suka untuk kembali mengingatkan kepada niat. Lagi sekali, lihat dan nilai. Itu semua tidak bermakna jika hati terdetik riak dan melakukan kerana ingin dipandang hebat oleh manusia. Kerana ingin supaya manusia memandang tinggi. Kerana ingin manusia memandang diri itu bagus, baik, soleh dan solehah. Tika itu, tanya diri sendiri, di mana niatmu yang kau katakan kerana Allah?

Lagi saya bawakan kisah yang cukup sering didengari. Kisah pembunuh yang telah membunuh 99 orang.Lihat usaha dan kehendaknya yang ingin bertaubat. Pembunuhannya mencukupi 100 orang apabila membunuh seorang alim yang mengatakan bahawa dia telah tiada harapan.

Namun, tidak pernah cuba untuk berputus asa. Mengikut nasihat seorang alim yang lain yang mengatakan bahawa perlu penghijrahan ke satu perkampungan yang suasananya bisa membantunya bertaubat. Namun,di pertengahan jalan, dia meninggalkan dunia tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang usaha bertaubat. Dan dia dimasukkan ke dalam syurga.

Kesimpulan.

Kita tidak akan pernah bisa mengubah masa lalu, tetapi kita masih bisa bertindak mulai sekarang untuk mencipta sejarah baru.

Andai tiada berhenti memikirkan pandangan manusia, langkah kita tiada ke mana. Mereka tiada untung tetapi kita tetap rugi.

Sentiasa bersangka baik dengan Allah. Apabila jalan hidup kita begitu dan begini,yakinlah itu yang terbaik. Apabila kita melakukan dosa, Dia ada memberi keampunan. Saat kita lemah dan terhimpit, Dia ada meniupkan semangat dan kekuatan. Allah ada menyebut bahawa Dia bersama sangkaan hamba-Nya. Andai kita yakin dosa-dosa kita akan diampunkan, Dia dengan rahmat dan sifat Maha Pengampun-Nya akan mengampunkan dosa hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas dan bersungguh.

-Artikel iluvislam.com

Hati Tetap Sama

Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku. Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa. Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?

Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah 'rules of life" – sunnahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini... maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.

Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?

Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran, itu petanda tidak puas hati. Suara berontak jiwa terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita hamba maka buatlah kerja kita sebagai hamba. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji... katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti hamba... Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.

Apa yang Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan kelihatan positif pula... Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha... Kita sudahpun berusaha, tapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?

Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam perniagaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi yang kita dapat hanya sedikit....

Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha lebih gigih... akhirnya beberapa tahun kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan ada orang lain yang pada mulanya mendapat keuntungan yang besar... tetapi keuntungan tidak bertambah. Mengapa? Kerana dia mula relaks, over confident - sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama.

Bijak dan baik sungguh aturan Allah. Benarlah kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh lain, ubat. Ubat itu pahit... kalau kita tidak faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu ubat, maka kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat. Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan... Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah menanti selepasnya.

Dalam dunia hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat kepercayaannya kepada takdir Tuhan hingga melupakan usaha ikhtiar. Kita mesti bebaskan diri daripada dua ektrem itu. Ekstrim pertama, bergantung kepada takdir kurang berusaha. Ini tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya... yang dipanggil sunnahtullah.

Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and effect). Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak akan lulus... kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah kita hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar sahaja. Ini tawakkal tidak berbekal namanya.

Manakala golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir. Dia percaya pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat dan iradat Allah. Ini salah. Kerana, usaha kita itu walau bagaimana hebat sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah tidak mengizinkan-Nya.

Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana disangkanya kejayaan itu dari kepandainya. Manakala kalau dia gagal pula, dia akan kecewa, dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!

Sebaik-baiknya kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal – berserah kepada Allah. Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah sikap kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong. Sebab kita yakin walaupun kita telah berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan kita.

Sebaliknya, kalau kita gagal pula... kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin Allah-lah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila digagalkan juga... tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti yang diperkatakan pada awal tadi... ya kita hamba!

Ada kalangan manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, "ini semua hasil usaha saya..." Wah sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, "semua ini sudah takdir..." Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.

Jika kita katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana Tuhan... Itu tidak beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada Allah. Dengan kata-kata yang demikian, kita merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam mengajar kita, mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila berjaya. Dan mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita gagal?

Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap sama... kita tetap memiliki dan dimiliki Allah!

- Artikel iluvislam.com

Masyitah Wanita Penghulu Syurga

Wanita ini harum namanya seharum makamnya yang dicium Nabi Muhammad s.a.w sewaktu Israk Mikraj. Beliau ialah Masyitah, wanita penghulu syurga.

Semasa hayatnya, Masyitah menjadi pengasuh puteri Firaun. Suatu hari, ketika menyikat rambut puteri Firaun, sikatnya jatuh. Dengan tidak sengaja, beliau menyebut nama ALLAH.

Puteri Firaun berasa hairan lalu bertanya, siapakah ALLAH itu? Masyitah engan menjawap tetapi terus didesak bertubi-tubi. Akhirnya, beliau menerangkan bahawa ALLAH adalah TUHAN Yang Maha Esa, TUHAN sekalian alam.

Puteri itu mengadu kepada Firaun dan menyebabkan Firaun menggila marah. Ini kerana Masyitah menyembah Tuhan yang lain selain dirinya. Firaun memaksa Masyitah mengakui bahawa dirinya (Firaun) sebagai Tuhan tetapi dengan penuh keberanian beliau berkata: "Tuhan aku dan Tuhan kamu adalah ALLAH."

Firaun semakin marah. Lalu dia memerintahkan agar patung lembu tembaga berisi minyak direbus hingga menggelegak. Kemudian, Masyitah dan ahli keluarganya dicampak ke dalamnya seorang demi seorang. Sewaktu giliran anaknya, Masyitah hempir mengalah kepada Firaun kerana sayangkan anaknya.

Tetapi dengan kehendak ALLAH s.w.t kejadian luar biasa berlaku. Bayi Masyitah boleh bercakap secara tiba-tiba. Katanya,

"Wahai ibu, teruskanlah dan usah menyerah kalah. Sesungguhnya engkau di jalan kebenaran."

Lalu Masyitah yakin semula. Beliau mempertahankan keimanannya dengan mengatakan bahawa ALLAH Tuhan Yang Maha Esa dan Firaun hanyalah manusia biasa. Beliau dan ahli keluarga kemudiannya mati syahid di tangan Firaun yang durjana.

Melalui pengorbanan sehebat Masyitah inilah Islam semakin mekar dan tersebar. Melalui pengorbanan wanita inilah Islam dipandang tinggi oleh insan yang sedang mencari-cari cahaya hidup. Ketika ada yang merasakan agama nenek moyang mereka sebagai karut dan tiada kuasa, mereka mencari-cari agama yang sebenar, yang boleh disandarkan seluruh kehidupan. Akhirnya mereka mendapati, Islam itu agama yang benar lalu mereka memilih untuk menganut agama yang benar ini dan bersandar dengan sepenuh jiwa raga meskipun diseksa atau terkorban nyawa. Apabila iman telah kukuh dalam diri, percayalah bahawa semua ugutan atau hinaan tidak lagi gentar untuk dihadapi dengan penuh ketakwaan.

Pada hari ini, kita tidak perlu berkorban nyawa seperti Masyitah untuk menegakkan Islam kerana Islam itu sudah tertegak dengan jerih payah pejuang-pejuang sebelum kita. Kita tidak perlu menempuh jalan sesukar itu kerana jalan Islam sudah terbentang di hadapan mata malah di lahirkan sudah Islam sejak azalinya. Islam ada di sekeliling kita malah menjadi cara hidup kita semua. Kita boleh mengamalkan agama kita ini sebebas-bebasnya. Tiada sesiapa pun yang akan marah jika sehari demi sehari kita berazam untuk meningkatkan iman dalam diri namun terlalu mengecewakan di zaman sekarang ada di antara kita yang lupa akan nikmatnya Islam yang selama ini bermati-matian di perjuangkan dan terlalu mudah agama kita diperjudikan.

kepatuhan

Barang siapa bersungguh-sungguh di dalam menaati perintah dan menjauhi larangan-Nya, maka dia berhak mendapatkan keutamaan tersebut.
Didalam dirinya masih terdapat sisa. kemudian dia berusaha, sehingga sirnalah sisa-sisa itu dan bertambahlah ilmu dan kedekatannya kepada Allah SWt, dalam arti yang sebenarnya.

Mencari keridloan dari Allah SWT merupakan pokok dari amal-amal yang saleh.
Amal yang saleh adalah amal yang patut untuk diterima di sisi Allah SWT dan tidak ada yang menyeketui-Nya.
Amal yang saleh menyebabkan engkau berada dalam takdir yang baik. Engkau berjalan didalam takdir itu, tidak ke arah kanan dan tidak pula ke arah kiri, dengan langkah-langkah hati dan batinmu. Engkau hanyalah sendirian. Tidak bersama mahkluk, dunia maupun akhirat. Engkau termasuk dalam golongan yang mengharap keridloan-Nya, sebagaimana Nabi Musa bersabda : "Dan aku bersegera kepada-Mu, ya Tuhanku, agar supaya Engkau ridlo" (Qs. Thaha : 48)

Maka, barangsiapa mencari keridloan dari Allah SWT, dia seperti yang tersebut, dalam firman Allah SWT tentang Nabi Musa : "Dan Kami cegah musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mau menyusukan sebelum itu". (Qs. Al Qashash : 12)

ORANG MUKMIN YANG KUAT YANG LEBIH DI KASIHI ALLAH

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Orang mukmin yang kuat lebih baik di sisi Allah dan lebih dikasihi daripada orang mukmin yang lemah, sedangkan setiap seorang itu mempunyai kebaikannya (imannya); oleh itu hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas; dan sekiranya engkau ditimpa sesuatu maka janganlah engkau berkata: “Kalaulah aku lakukan itu ini, tentulah akan terjadi begitu begini, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan, dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan, kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.”
Riwayat Muslim
Huraian:
Setiap mukmin itu mempunyai tingkat imannya yang tertentu di mana ada yang kuat semangatnya, ilmunya dan kuat pula berusaha untuk mendapatkan kebaikan dalam hidup; manakala setengah yang lain pula adalah sebaliknya.
Seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai sesuatu di samping meminta pertolongan daripada Allah S.W.T supaya dengan ihsan-Nya Allah memberi taufik dan menjayakan segala usaha yang dilakukan itu kerana manusia walau sebijak mana dan sekuat mana pun ia, tetap berhajat kepada pertolongan dan pimpinan daripada Allah S.W.T.
Demikian juga kita tidak sepatutnya bersikap malas dan malu untuk bekerja serta hanya memasang angan-angan bahawa Allah akan menyampaikan hajat kita dengan alasan Allah itu Maha Berkuasa sedangkan Allah sendiri telah menjelaskan bahawa sesuatu yang boleh diusahakan oleh manusia tidak akan berhasil melainkan setelah diusahakan sebab atau jalan untuk mencapainya.
Sekiranya sesuatu usaha yang dibuat itu ditakdirkan menemui kegagalan maka kita selaku umat Islam dikehendaki menghadapinya dengan perasaan redha, tenang tenteram kerana hal tersebut pasti mengandungi hikmahnya yang tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah.
Janganlah sekali-kali disebut perkataan ‘kalau’ jika mengalami kerugian atau kekecewaan kerana ia akan membuka jalan kepada hasutan syaitan yang akan menjadikan seseorang itu gelisah, marah, tidak redha kepada takdir dan ketentuan Allah Yang Maha Esa....ldg..